Tuesday, 7 June 2016

KARANGAN FAKTA

Tajuk: “Kepentingan Komputer Kepada Murid-Murid”
Soalan: Komputer sangat penting bagi murid-murid. Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Kepentingan Komputer Kepada Murid-Murid”.

         Pada zaman sekarang, penggunaan komputer telah meningkat dalam kalangan para pelajar. Hal ini kerana komputer merupakan alat penting yang kerap digunakan di kebanyakan sekolah di negara kita. Kita juga boleh dikatakan ramai murid sekolah telah mahir menggunakan komputer seperti bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Terdapat pelbagai kepentingan komputer kepada murid-murid.

         Antara kepentingan komputer kepada murid-murid ialah komputer dapat membantu mereka dalam mata pelajaran yang mereka lemah. Para murid mendapat peluang untuk belajar melalui aktiviti pembelajaran yang lebih menarik serta berkesan. Setiap murid akan berasa seronok lalu perasaan yang ingin tahu dan melibatkan diri dalam aktiviti tersebut akan timbul. Lebih-lebih lagi, mereka dapat memahami konsep mata pelajaran yang mereka pernah lemah dengan lebih lanjut.

          Selain itu, murid-murid boleh menerima maklumat penting dengan sekilas mata sahaja. Masa yang digunakan juga pendek dan ini dapat menjimatkan masa daripada menunggu untuk mencari maklumat tersebut kerana masa itu emas. Murid-murid juga boleh menimba pelbagai ilmu pengetahuan supaya pengetahuan mereka seluas lautan yang terbentang. Tambahan pula, kerja-kerja sekolah yang diberi oleh cikgu dapat disiapkan dengan pantas serta cerkap.

          Di samping itu, hubungan silaturrahim dapat dieratkan melalui penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, dan banyak lagi. Kita boleh berhubung antara satu sama lain menggunakan media-media sosial tersebut terutamanya rakan, keluarga ataupun saudara-mara yang tengah berada di luar negara. Para pelajar dapat berbual-bual bersama-sama, bersemuka dengan mereka, menceritakan kehidupan di negara asal dan lebih lagi. Justeru, perasaan rindu akan mereka tentu hilang walaupun mereka sekarang tidak berada di sisi pelajar.

          Akhir sekali, komputer boleh dijadikan alat hiburan ringan. Hal ini demikian, selepas menyiapkan kerja sekolah ataupun mengulang kaji pelajaran, pemikiran mereka akan kusut dan berasa tertekan. Jadi, untuk menghindari daripada perkara tersebut, meraka bolehlah menggunakan komputer untuk mendengar muzik yang menyenangkan telinga dan muat turun beberapa video daripada mp4. Oleh itu, pemikiran yang tenang tidak akan terjejas dengan adanya komputer.

         

Thursday, 2 June 2016

KARANGAN LAPORAN

Tajuk: Laporan “Minggu Bahasa Kita”
Soalan: Persatuan Bahasa Melayu sekolah anda telah menganjurkan program “Minggu Bahasa Kita”. Sebagai setiausaha persatuan, anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program tersebut. Panjang karangan anda hendaklah lebih daripada 180 patah perkataan.

LAPORAN “MINGGU BAHASA KITA”

Pada 12 hingga 16 Februari yang lalu, sebanyak 50 orang peserta dari tingkatan 1 hingga 5 telah menyertai sebuah program yang bertemakan “Minggu Bahasa Kita” anjuran Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Dataran Lembau (SMKDL). Program tersebut telah diadakan di Dewan SMKDL dan seramai 5 orang guru serta 15 orang pengawas ditugaskan untuk menjaga disiplin murid- murid.

         Sepanjang program diadakan, pelbagai acara yang berkaitan dengan bahasa telah dilangsungkan. Antaranya ialah pertandingan pidato, berbalas pantun, kuiz bahasa, penulisan, dan lebih lagi. Tujuan utama acara-acara tersebut dianjurkan adalah untuk menonjolkan dan mengasahkan bakat-bakat para pelajar. Bukan itu sahaja, para pelajar juga dapat meningkatkan penguasaan, perbendaharaan kata serta kosa kata Bahasa Melayu mereka. Di samping itu, mereka boleh menyedari bahawa betapa indah dan pentingnya bahasa kita melalui program tersebut.

           Selain itu, semua acara telah mendapat sambutan yang hangat daripada pelajar-pelajar. Bagi mereka yang mengambil bahagian telah menunjukkan kesungguhan mereka dengan tinggi sekali. Manakala pelajar yang tidak mengambil bahagian turut datang untuk menyaksikan serta memberi sokongan moral bagi meyakinkan rakan-rakan mereka. Seterusnya, setiap pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu menengah atas, tingkatan 4 dan 5, dan menengah bawah, tingkatan 1,2, dan 3.

             Pertandingan-pertandingan yang diadakan dihakimi oleh para guru Bahasa Melayu SMKDL iaitu Encik Sulaiman, Puan Nurul Aini, Cik Karida Hassan, dan diketuai oleh Guru Kanan Bahasa Melayu, Encik Rohan. Para pelajar yang berjaya memenangi pertandingan tersebut akan diberi peluang untuk mewakili pihak sekolah dalam pertandingan peringkat daerah, kebangsaan dan akhirnya negara.

             Pada hari yang terakhir, sebuah persembahan drama yang bertemakan “Bahasa Merupakan Jiwa Kita” telah dipersembahkan oleh para pelajar dari Kelab Drama. Drama terebut telah digubah dan telah dijadikan sebuah drama yang berunsur komedi. Walaupun persembahan drama berunsurkan komedi, namun drama tersebut mengandungi pengajaran yang telah memberi kesedaran kepada para pelajar yang menontonnya. Sebelum majlis ditutup, Tuan Pengetua SMKDL, Puan Mariam Rosman, telah menyampaikan hadiah serta sijil-sijil kepada para pemenang yang telah meyertai pertandingan yang diadakan.

            Kesimpulannya, program “Minggu Bahasa Kita” pada tahun ini berjaya mencapai matlamatnya dan banyak memberikan pengetahuan tentang pentingnya Bahasa Melayu. Semoga program ini dapat diteruskan pada setiap tahun dengan aktiviti-aktiviti yang lebih menarik serta menyeronokkan.

Laporan disediakan oleh,

17 Februari 2016.

 

(AMY LIM)

Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,

Sekolah Menengah Kebangsaan Dataran Lembau,

Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.

 

Wednesday, 1 June 2016


KARANGAN SURAT KIRIMAN TIDAK RASMI


 Tajuk: Tempat-Tempat Untuk Dilawati Di Selanor
Soalan: Anda mahu rakan anda datang ke Selangor untuk bercuti. Tulis sepucuk surat kepadanya untuk meyakinkan dia bercuti di sana.

5-12-3A, Puncak Seri 

Kelana Condo, Jln PJU

1A/46, 47200, Petaling 

Jaya, Selangor.


8 Ogos 2003.


         Menemui saudara Kevin yang berada di Kangar, Perlis dengan selamatnya.

Saudara,

         Terima kasih atas kiriman surat saudara yang bertarikh 14 Julai 2003. Apa khabar? Semoga saudara sihat sejahtera dan bahagia disaming keluarga yang tersayang.

          Saya amat berbesar hati kerana saudara masih ingat akan saya lagi. Saya dan keluarga sihat-sihat sahaja. Kadang-kala saya terkenang juga akan Kangar. Rasanya rindu dan terharu. Maklumlah, saya pernah tinggal di Kangar.

         Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menceritakan tempat-tempat yang patut saudara lawati di negeri Selangor. Antara tempat percutian ialah Pulau Ketam. Pulau ini terkenal dengan perikanan. Sekiranya saudara gemar makan makanan laut segar, maka pulau ini adalah tempat yang sesuai untuk dilawati. Di samping menikmati hidangan yang lazat, saudara juga dpat berpeluang untuk belajar menangkap hasil lautan daripada para nelayan yang mahir.

         Selain itu, Sunway Lagoon adalah salah satu tempat percutian yang menyeronokkan dan digemari oleh semua lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda. Lokasi tempat ini adalah di Subang Jaya serta merupakan sebuah taman tema yang besar dan mempunyai pelbagai jenis permainan taman tema air yang saudara boleh sertai. Contoh jenis permainan ialah ‘Extreme Park’, ‘Surf Beach’, ‘The Nickelodeon Last Lagoon’, dan lain-lain.

Saudara,

          Saya rasa setakat ini sahaja yang saya dapat nyatakan dalam warkah saya kali ini. Saya berasa tidak sabar untuk kedatangan saudara, jika saudara ingin melawat negeri Selangor. Saya akan menunggu warkah saudara yang seterusnya. Hingga di sini sahaja saya dapat tulis. Sambutlah salam takzim untuk saudara dan keluarga. 

         Sekian, terima kasih.

Sahabatmu,


(Luna Karin)

KARANGAN KEPERIHALAN

Tajuk: Pengalaman Menyertai Kem Motivasi
Soalan: Pada musim cuti sekolah yang lalu, anda telah berpeluang menyertai Kem Motivasi Diri yang dianjurkan oleh sekolah anda. Ceritakan pengalaman anda itu.

          Pada musim cuti sekolah yang lalu, saya bersama kawan-kawan sedarjah telah menyertai sebuah Kem Motivasi Diri anjuran Kelab Bimbingan Kerjaya dn Kaunseling. Seramai 50 orang pelajar, iaitu Tingkatan satu sehingga Tingkatan lima, yang menyertainya. Kem motivasi tersebut telah dijalankan selama 3 hari dan 2 malam, bermula pada hari Jumaat. Lokasi Kem Motivasi Diri telah diadakan di Kem Motivasi Lanchang, Merlimau, Melaka.


          Pada hari pertama, saya dan kawan-kawan saya tidak sabar untuk memulakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancangkan oleh penganjur. Kami telah menaiki bas yang disewa oleh sekolah. Kami memulakan perjalanan ke desinasi tersebut pada pukul 9 pagi. Masa yang telah diambil ialah dua jam setengah. Apabila kami sampai di Kem Motivasi Lanchang, kami terus memasang khemah di tapak yang telah disediakan. Selepas itu, kami berhimpun untuk mendengar taklimat daripada guru penasihat kami, Puan Rashida, tentang aktiviti-aktiviti yang kami akan sertai sepanjang program dijalankan. Puan Roshida juga berkata yang dia berharap kami, sebagai seorang remaja, dapat membina jati diri dan saling bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing.


         Apabila malam menjelang, kami diarah untuk ke Dewan Kem Motivasi Lanchang untuk mendengar ceramah yang bertajuk “Remaja Kini” dan “Cabaran”. Ceramah-ceramah tersebut telah disampaikan oleh pensyarah yang tersohor di seluruh negara Malaysia iaitu Dr. Fadley. Beliau datang dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau juga memberi semangat-semangat serta mengajak kami untuk berfikir secara luas dan positif. Semasa beliau sedang memberi ceramah, ada kalanya beliau juga bergurau-senda dengan kami supaya kami tidak rasa bosan. Beliau seorang yang sangat mesra dengan kami. Di samping itu, terdapat  pelbagai permainan mental yang menarik perhatian kami. Kami berasa sangat seronok dan dapat berkawan dengan peserta-peserta lain. Saya, terutamanya peserta tingkatan lima, teruja akan motivasi-motivasi beliau dan ada juga yang memberi respon.


           Keseluruhannya, hari pertama adalah hari yang paling seronok bagi saya. Aktiviti-aktiviti yang telah diadakan juga menarik. Pada hari yang seterusnya, acara yang diadakan adalah acara untuk membina ketahanan dan ketabahan diri kami. Aktiviti tersebut ialah merentas hutan dan mendaki bukit. Saya berasa tidak sabar untuk menyertainya kerana saya suka aktiviti yang mencabar fizikal dan mental saya. Sebelum aktiviti dijalankan, kami dibahagi kepada 10 kumpulan. Saya berada di kumpulan 8. Selepas itu, kami dberi peta dan sebuah kompas. Seterusnya, kami diberi tunjuk ajar oleh ranjer hutan untuk menggunakan peta dan kompas. Ranjer hutan juga memberitahu bahawa setiap kumpulan ditugaskan untuk mencatat nama tumbuh-tumbuhan, unggas dan sungai. Semua peserta mendengar arahan ranjer hutan dengan teliti. Akhirnya, kami dibenarkan untuk memulakan aktiviti. Peserta-peserta melakukan aktiviti tersebut dengan bersungguh-sungguh. Setelah satu jam setengah berlalu, kami sudah selesai mencatat semua benda yang kami diarahkan. Aktiviti tersebut berakhir dengan jayanya tetapi kumpulan kami tidak berpeluang untuk merebut tempat pertama. Walaupun kumpulan kami tidak memenangi apa-apa hadiah tetapi kami berpeluang untuk mengecapi keseronokan yang tidak terkata. Di samping itu, terdapat peserta yang mengalami kecedaraan ringan semasa mendaki bukit akibat terjatuh.


          Pada sebelah malam pula, terdapat sebuah persembahan yang istimewa untuk kami lakukan. Dalam kumpulan yang sama, setiap kumpulan ditugaskan untuk melakukan sebuah persembahan bertemakan Kebudayaan. Kami diberi masa selama setengah jam untuk praktis langkah-langkah persembahan.Ramai kumpulan yang mempersembahkan persembahan umum seperti Dondang Sayang, Boriam Dikir Barat dan ramai lagi. Tiba masanya untuk kumpulan kami mempersembahkan persembahan kami. Persembahan kami adalah lain daripada yang lain. Kumpulan kami mempersembahkan persembahan pencak silat . Setelah kami habis mempersembahkannya, kami diberi tepukan gemuruh oleh penonton-penonton. Ahli kumpulan saya terasa haru sangat kerana mendapat sambutan yang hangat sekali. Tiba masanya untuk mengumumkan keputusan. Akhirnya, kumpulan kami yang dapat merebut tempat pertama. Pihak penganjur telah menghadiahi setiap ahli kumpulan saya sebuah hamper kecil. Kami berasa sangat gembira kerana dapat memenangi pertandingan persembahan tersebut.

          Hari yang ketiga telah menjelang. Kami perlu pulang ke Kuala Lumpur sebab hari tersebut adalah hari yang terakhir untuk kami berada di kem motivas. Pada waktu 9 pagi, kami ke kantin untuk bersarapan. Pelbagai jenis makanan lazat telah dihidangkan. Setelah selesai sarapan, kami pulang ke khemah masing-masing dan mula untuk mengemas beg dan peralatan peribadi kami. Selepas itu, guru pengiring menyuruh kami untuk berkumpul di pintu depan dan mengucapkan terima kasih kepada pemilik Kem Motivasi Lanchang serta Pengerusi Kelab Bimbingan Kerjaya dan Kaunseling. Kami dibenarkan pulang. Semua peserta berbaris dan menaiki bas sewa. Saya berasa sungguh gembira kerana mendapat kenalan baru, membina keyakinan diri, memupuk semangat kerjasama serta berfikiran positif walaupun masa yang kami luangkan adalah singkat. Cuti sekolah tersebut adalah cuti sekolah yang paling seronok pernah saya lalui.    

KARANGAN PERBINCANGAN

Tajuk: Faedah Membaca Kepada Para Pelajar
Soalan: Membaca dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Bincangkan faedah membaca kepada para pelajar.

         Membaca adalah amalan yang amat digalakkan untuk kita, sebagai seorang pelajar. Membaca dapat membantu kita untuk meluaskan ilmu  pengetahuan seperti laut yang terbentang luas. Sekiranya kita mengamalkan amalan tersebut, kita dapat memperolehi pelbagai faedah.

          Antara faedah-faedah yang kita boleh perolehi ialah menguasai pelbagai jenis bahasa seperti Bahasa Cina, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan sebagainya. Walhal, kita dapat bertutur atau bertanyakan sesuatu bersama orang asing semasa bercuti di luar negara. Di samping itu, kita juga dapat memiliki ramai rakan dari luar negara dan dapat belajar adat mereka.

          Selain itu, membaca juga menambahkan perbendaharaan kata. Contoh buku-buku yang kita boleh baca ialah buku novel, cerita, majalah dan lain-lain. Perbendaharaan kata yang luas, tidak kira Bahasa Malaysia mahupun Bahasa Inggeris, akan meningkatkan kemampuan kita untuk berkomunikasi, berlisan serta bertulis.

          Sekiranya kita gemar membaca buku, amalan ini akan menambahkan ilmu pengetahuan kita. Misalnya kita boleh membaca buku-buku tentang sejarah dan ensiklopedia yang terdapat di perpustakaan. Oleh hal yang demikian, pengetahuan tentang sejarah dan ensiklopedia akan dipertingkatkan sekaligus membantu kita dalam pelajaran dan peperiksaan kita. Kita juga tidak akan dianggap sebagai katak dibawah tempurung oleh masyarakat.

          Di samping itu, amalan membaca boleh mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini kerana membaca perlu memberi sepenuh tumpuan seperti beberapa hari untuk menghayati, memahami dan menghabiskan sebuah buku, terutamanya buku yang tebal sangat. Maka, kita akan menghindari diri daripada bergaul dengan kacang hantu dan ponteng sekolah. Perkara yang negatif juga akan dihindari daripada amalan membaca.

          Kesimpulannya, semua faedah membaca yang telah dijelaskan akan memberi kesan sekiranya ibu bapa memberi kerjasama dengan menolong memupuk minat anak mereka seperti memberi galakan dan membeli bahan bacaan yang berkualiti. Bak kata orang membaca adalah jambatan ilmu. Amalan ini sangat penting dalam kehidupan kita tidak kira tua ataupun muda.